Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi berharap tiada kelab Liga Super menarik diri semasa pertengahan musim.
Harapan itu disuarakan beliau tatkala beberapa pasukan liga berkenaan berdepan masalah kewangan yang serius terutama isu tunggakan gaji.
Isu ini kembali hangat diperkatakan peminat bola sepak apabila beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) terpalit dengan isu tunggakan gaji. Antara pasukan yang dilaporkan terpalit ialah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Perak FC dan KL City FC.
Isu sama juga menyebabkan Kedah terpaksa menurunkan barisan pemain muda bagi memenuhi komitmen perlawanan Liga Super. Kelibat mereka dilihat dalam aksi terbaru liga menentang KL City FC pada 14 September lalu.
Rossi berharap tidak ada kelab yang bertindak menarik diri semasa musim Liga Super sedang berjalan. Ini kerana tindakan tersebut bukanlah solusi terbaik buat mereka.
“Memang ada isu membabitkan beberapa kelab. Sekarang, jika anda kata ada perlumbaan babitkan kelab untuk menarik diri pada pertengahan musim, buat masa ini (kita berharap) itu tidak berlaku. Kita menolaknya,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.
Rossi turut melihat hukuman termasuk denda buat pasukan-pasukan liga yang bermasalah bukanlah solusi kepada isu yang dihadapi mereka.
“Ada sistem penalti dan sistem hukuman. Semalam atau pada hari sebelumnya, saya ada perjumpaan dengan pasukan pelesenan pasukan. Kita menyemak status terkini untuk setiap kelab. Ya, memang ada isu. Itu sesuatu yang jelas dan tak boleh disembunyikan.
“Saya percaya tindakan menghukum pasukan termasuk membayar denda, itu bukan solusi kepada masalah. Itu cuma proses sebahagian daripada peraturan.
“Jadi, anda perlu mengikut beberapa langkah dan jika anda tidak mengikutnya, anda dikenakan penalti. Tetapi itu tidak akan menjadi solusi kepada seluruh proses sebelumnya,” ujarnya.
Terdahulu, Rossi turut berkongsi tentang pelan jangka panjangnya buat Liga Malaysia (Liga M). Walau bagaimanapun, sebarang perancangan perlu dirujuk kepada pemegang-pemegang taruh terlebih dahulu.