Advertisement
Giorgio Rossi Kongsi Pelan Jangka Panjang Liga Malaysia
MFL
MakanBola
Giorgio Rossi

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Giorgio Rossi berkongsi pelan jangka panjang untuk saingan Liga Malaysia (Liga M).

Perkongsian ini dibuat tatkala beberapa kelab Liga M berdepan masalah kewangan yang serius. Antara isu yang timbul sejak musim 2024/25 bermula ialah isu tunggakan gaji.

Isu tunggakan gaji bukan saja mendorong sesetengah pemain untuk berhijrah ke kelab lain. Malah, ada yang bertindak memboikot sesi latihan pasukan sebagai usaha menuntut tunggakan gaji mereka dilunaskan.

Antara pasukan yang berdepan isu kewangan yang serius ialah pasukan Lembah Klang, KL City FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Rossi mengakui mempunyai pelan jangka panjang buat Liga M. Namun begitu, beliau juga perlu melihat apa yang dimiliki MFL dan menganalisis setiap aspek yang timbul.

Dari situ, barulah beliau membentangkan satu pelan jangka panjang untuk Liga M di mana ia mempunyai matlamat dan objektif yang jelas. Ini bagi memastikan isu yang timbul ketika ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Anda tahu kita ada visi jangka panjang. Kita perlu uruskan apa yang berlaku sekarang, yang terkini dan beberapa tahun seterusnya. Kita akan buat pelan jangka panjang untuk tahun-tahun mendatang.

“Tapi saya fikir kita kena fokus dengan apa yang kita ada, analisis apa yang boleh diperbaiki dari sudut pandang liga, kelab-kelab dan semua pemegang taruh yang terlibat. Dari situ, kita boleh tetapkan matlamat dan objektif yang jelas,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Rossi turut mengingatkan sebarang perancangan yang direncana untuk membawa perubahan dalam liga memerlukan ruang dan masa.

Ini kerana beliau menganggap sebarang usaha perubahan drastik dalam tempoh beberapa hari sebagai CEO baru MFL sebagai mustahil.

“Tapi sekali lagi, perkara ini tidak boleh dilakukan dalam satu hari. Sesiapa yang fikir CEO yang baru dilantik beberapa hari lalu dan melakukan perubahan secara tiba-tiba, itu mustahil. Jadi, tiada siapa jangka perubahan drastik dalam beberapa hari,” tambahnya.

Rossi menggalas peranan sebagai CEO MFL selepas penyandang sebelumnya, Datuk Stuart Ramalingam tidak menyambung kontrak dengan badan pengelola liga itu.

Selain pernah menggalas peranan sebagai Delegasi La Liga di Asia Tenggara, beliau juga pernah memiliki pengalaman berkhidmat bersama kelab La Liga, Valencia dan Serie A.