CEO One Championship Beri Pujian Menggunung Buat Johan Ghazali
UltraSukan
CS/JG

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Siyodtong tetap memuji persembahan jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali.

Perkara ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas persembahan Johan ketika menentang jaguh Jepun, Shimon Yoshinari untuk ONE Samurai 1 baru-baru ini.

Chatri bukan saja melabel pertarungan dua jaguh muda itu di Ariake Arena sebagai luar biasa. Ini kerana ia bukan saja menghiburkan tetapi menjanjikan pertarungan bertaraf dunia daripada kedua-dua jaguh itu.

Chatri percaya jika kedua-duanya terutama Johan mampu meneruskan kualiti tersebut, tidak mustahil mereka menjadi jaguh bertaraf dunia selepas ini.

“Pertarungan yang paling saya suka setakat ini ialah Jojo menentang Shimon, memang luar biasa.

“Tiga knockdown (masing-masing berjaya menjatuhkan lawan) benar-benar satu pertempuran sengit.

“Kedua-duanya menunjukkan semangat juang pada tahap tertinggi di dunia. Mereka ini mempunyai masa depan yang sangat cerah,” katanya di Instagram ONE Championship.

Shimon diisytiharkan menang menerusi keputusan sebulat suara juri. Keputusan itu turut menyaksikan beliau menerima kontrak ONE Championship sebanyak AS$100,000 (RM395,000).

Ini kekalahan keempat Johan di pentas ONE Championship dalam 12 pertarungan. Kali terakhir beliau tewas ialah Jun 2025 di tangan jaguh Colombia-Amerika Syarikat, Diego Paez.