Pengendali PDRM, P. Maniam enggan para pemain merasai tekanan apabila turun menentang Selangor di final pertama MFL Challenge Cup.
Saingan MFL Challenge Cup sudah semakin hampir menutup tirainya dengan dua kelab dari Lembah Klang iaitu PDRM dan Selangor akan bersaing bagi merebut gelaran juara edisi ke-4 ini.
PDRM hadir ke pentas final ini dengan status juara bertahan musim lalu dan pastinya meletakkan harapan besar untuk mempertahan kejuaraan yang diraih oleh mereka musim lalu.
Sementara Selangor pula antara pasukan yang dikenali akan turun berbekalkan momentum 10 aksi tanpa kalah dan mahu menambah koleksi trofi MFL Challenge Cup di dalam kabinet.
Menurut P. Maniam, kejayaan pasukan mara ke final buat kali kedua berturut-turut dilihat sebagai satu kebanggaan kerana bukan mudah untuk sesebuah pasukan kekal konsisten.
”Saya rasa kemaraan kami ke final Challenge Cup ini adalah satu kejayaan kerana bukan tugas mudah untuk bermain di sini berturut-turut,” kata P. Maniam ketika sesi sidang media.
Ketika ditanya mengenai tekanan sebagai juara bertahan, P. Maniam tegaskan pasukan kendaliannya hanya mahu turun dan nikmati pentas final ini di samping beraksi dengan baik.
”Sejujurnya kami tidak alami sebarang tekanan, saya hanya mahu pemain turun dan nikmati permainan di atas padang.”
”Dalam masa yang sama, mereka kini bermain di final dan nikmati dengan menampilkan aksi terbaik, itu adalah kunci pasukan PDRM,” tambah bekas jurulatih Selangor dan PJ City itu.
Aksi final pertama akan berlangsung pada Sabtu, 15 Februari di Stadium MBPJ dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam nanti.