Selangor FC memiliki tiga peledak berbisa yang mampu memberi ancaman kepada PDRM FC menjelang aksi final pertama MFL Challenge Cup.
Tiga peledak yang dimaksudkan ialah Ronnie Fernandez, Alvin Fortes dan Ali Olwan. Gandingan ketiga-tiga pemain ini sudah meledakkan 33 gol dalam semua kejohanan.
Fernandez dan Fortes juga merupakan penjaring terbanyak Selangor dalam saingan Liga Super. Kedua-duanya masing-masing menjaringkan 10 dan lapan gol setakat ini.
Atas sebab itu, Ali percaya gandingan yang dibentuk mereka mampu menjadi lebih baik selepas ini.
“Kita akan terus menambah baik (permainan) kita terutama di bahagian hadapan. Kita bertiga, bukan saja saya dan Ronnie.
“Selagi mana ia (gandingan kita) memberi manfaat kepada pasukan, selagi itu kita akan melakukannya,” katanya kepada Nadi Arena.
Selangor beraksi dalam aksi final pertama MFL Challenge Cup dengan rekod 10 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan.
Ini termasuk kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super pada 8 Februari lalu. Ali dan Fernandez mencipta gol buat Merah Kuning di Stadium MBPJ.
Selangor bakal menentang PDRM untuk aksi final pertama di Stadium MBPJ pada 15 Februari ini.