Challenge Cup: ‘Orang Besi’ Sabah Pecah Rekod 31 Tahun
MakanBola
Sabah FC

Pemain pertahanan Sabah FC, Ernesto Phumipha melakar sejarah tersendiri bila membantu pasukan itu muncul juara MFL Challenge Cup.

Ini kerana SNE Sports melaporkan beliau menjadi pemain Thailand pertama menjulang trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam tempoh 31 tahun.

Kali terakhir pencapaian itu dilakar ialah tahun 1995. Tahun itu menyaksikan mendiang Attaphol Buspakom membantu Pahang muncul juara Liga Perdana.

Attaphol bukan asing dengan skuad Tok Gajah. Beliau pernah beraksi untuk Pahang sebanyak dua kali dari 1989 hingga 1991 dan 1994 hingga 1996.

Selepas bersara sebagai pemain, Attaphol pernah membimbing beberapa kelab seperti BEC Tero Sasana (kini Police Tero), Muangthong United dan Buriram United.

Antara pencapaian beliau ialah bergelar naib juara Liga Juara-Juara AFC (ACL), juara Thai Premier League (kini Thai League 1), Thai FA Cup dan Thai League Cup. Attaphol kemudiannya meninggal dunia pada 2015 akibat jangkitan darah.

Kejayaan bergelar juara MFL Challenge Cup memastikan Ernesto menambah koleksi trofi dalam kariernya.

Selain MFL Challenge Cup, beliau juga pernah menjulang trofi Thai League 1, Thai League Cup, Thai FA Cup dan Thailand Champions Cup.

Sejak menyertai Sabah dalam tetingkap perpindahan kedua Liga M, Ernesto sudah merekodkan 11 penampilan dan satu bantuan gol setakat ini.