Challenge Cup: Juan Torres Lega Sabah Akhiri Kemarau Trofi
MakanBola
Sabah FC

Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido mengakui gembira dapat membantu Sabah menamatkan kemarau trofi mereka dengan memenangi MFL Challenge Cup.

Ini kerana jurulatih Sepanyol itu melihat kejayaan itu cukup bermakna buat para penyokong Sang Badak.

Ini ditambah dengan kejayaan bergelar juara MFL Challenge Cup dicapai di hadapan para penyokong di Stadium Likas.

Meskipun berdepan kesukaran ketika menentang Penang FC di pentas final kedua, Garrido melihat ini kejayaan bermakna buat Sabah pada akhirnya.

“Ianya lebih sukar daripada apa yang kita hadapi. Jadi, itu menjadikan kita merasa lebih baik.

“Dan juga bila melihat stadium penuh dengan penyokong dan berpeluang meraih kejayaan di gelanggang sendiri cukup memuaskan,” katanya selepas perlawanan.

Garrido turut mengakui isu penyudah memaksa Sabah bekerja keras sepanjang aksi final kedua sebelum meraih kemenangan.

“Saya fikir secara keseluruhannya, kami bermain dengan baik tetapi sudah tentu, kami perlu menjaringkan gol.

“Kami tahu kami sedikit bergelut untuk mendapatkan gol yang memihak kepada kami dalam perlawanan kerana itu.

“Tetapi, anda tahu pada penghujung perlawanan, kami menjaringkan empat gol. Jadi, itu satu perkara yang baik kerana kami berjaya bertahan untuk kekal dan percaya sehingga tamat permainan,” tambahnya.

Menariknya, ini bukan saja trofi pertama Garrido bersama Sang Badak. Malah, ini juga trofi pertamanya sebagai ketua jurulatih di peringkat kelab.