Kejayaan Sabah FC menjulang trofi MFL Challenge Cup dilihat menjadi bualan di peringkat ASEAN.
Ini selepas laman rasmi bola sepak Thailand, Changsuek berkongsi kisah kejayaan pasukan itu dan pemain berdarah Sepanyol-Thailand, Ernesto Phumipha.
“Ernesto Phumipha, pemain pertahanan kiri Thai-Sepanyol yang kini bermain bersama Sabah FC, sebuah kelab dalam Liga Malaysia telah memimpin pasukan itu meraih kejuaraan MFL Challenge Cup 2025/2026.
“Ini selepas pasukan itu menewaskan Penang FC pada final kedua menerusi penentuan penalti dengan keputusan 4-3 (keputusan agregat 1-1),” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Changsuek turut menyentuh rekod 31 tahun yang dipecahkan Ernesto ketika menjulang trofi MFL Challenge Cup bersama Sang Badak.
Beliau mengikut jejak legenda Thailand, mendiang Attaphol Buspakom. Attaphol meraih trofi Liga Perdana semasa mewakili Pahang pada 1995.
Changsuek turut melihat kejayaan ini sebagai hadiah hari lahir terbaik buat Ernesto. Ini kerana anak jati Oviedo, Sepanyol itu meraikan hari lahir beliau yang ke-36 pada 16 April lalu.
Selepas hantaran itu disiarkan di semua platform rasmi Changsuek, Ernesto mengucapkan terima kasih di ruang komen laman berkenaan.
Sejak menyertai Sabah dalam tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), Ernesto sudah merekodkan 11 penampilan dan satu bantuan gol setakat ini.
Kini, fokus Sabah dan bekas bintang Buriram United itu ialah aksi Liga Super menentang Melaka FC pada 23 April ini.