Sabah FC mengakhiri kemarau trofi pasukan itu dengan menggondol trofi MFL Challenge Cup. Kejayaan itu dicapai anak buah Juan Torres Garrido dengan menewaskan Penang di Stadium Likas.
Selepas terikat 1-1 dalam aksi final pertama di Stadium Bandaraya pada 4 April lalu, kemenangan menjadi buruan kedua-dua pasukan untuk meraih trofi musim ini.
Fergus Tierney mengetuai jentera serangan Sang Badak selepas menjalani penggantungan perlawanan. Dylan Wenzel-Halls kembali cergas untuk menyertai jentera serangan Sang Harimau Kumbang.
Separuh masa pertama menyaksikan Sabah bermula garang untuk memburu gol pendahuluan.
Bekas penyerang Penang, Jafri Firdaus Chew hampir meletakkan Sabah di hadapan pada minit-minit awal perlawanan. Malangnya, tandukan beliau berjaya ditangkap Ramadhan Hamid.
Penang kemudiannya mula menguasai perlawanan dan memberi tekanan kepada benteng tuan rumah.
Bekas penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Tchetche Kipre nyaris merobek gawang Sabah. Walau bagaimanapun, percubaan beliau berjaya ditepis Damien Lim.
Kedua-dua pasukan terus buntu mencari gol pendahuluan dengan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, permainan semakin rancak membabitkan kedua-dua pasukan dalam usaha memecah kebuntuan.
Kesukaran Penang menembusi benteng Sabah mendorong Wan Rohaimi memasukkan pemain import pinjaman dari Selangor FC, Omid Musawi sebagai pemain gantian.
Omid nyaris merobek gawang Damien tidak lama selepas masuk sebagai pemain gantian. Pemain berusia 25 tahun itu hampa apabila percubaannya tidak menepati sasaran.
Kedua-dua pasukan terus terikat tanpa jaringan meskipun selepas mengharungi 120 minit permainan. Ini memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Perlawanan semakin mendebarkan apabila sepakan Dean Pelekanos, Ernesto Phumipha dan OJ Porteria masing-masing diselamatkan Ramadhan dan Damien.
Farhan Roslan muncul wira dengan menewaskan Ramadhan untuk membantu Sabah bergelar juara MFL Challenge Cup.