Final Challenge Cup: Sabah Ikat Penang Saat Akhir
MakanBola
MFL

Penang diikat Sabah saat akhir dalam aksi final pertama Challenge Cup 2025–2026 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.

Di bahagian serangan, Tcheche Kipre dan Dylan Wenzel-Halls mengetuai jentera ofensif Penang dalam usaha mengasak pertahanan lawan. Sementara itu, pasukan Sabah, yang dikenali sebagai The Rhinos, mempertaruhkan ketangkasan Damien Lim untuk mengawal gawang daripada dibolosi.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan tempo tinggi, masing-masing berusaha memburu gol pembukaan seawal mungkin dalam perlawanan final pertama ini.

Tchéché Kipré hampir mencetuskan kejutan menerusi satu percubaan berbahaya, namun rembatan kencangnya tersasar jauh daripada gawang pasukan Sabah.

Pasukan Sabah turut mengatur serangan balas yang tajam melalui Ondong Mba, tetapi percubaannya juga gagal menemui sasaran ke arah gawang Harimau Kumbang.

Memasuki minit ke-35, kedudukan masih kekal terikat tanpa jaringan, dengan kedua-dua pasukan terus berbalas serangan.

Babak pertama akhirnya melabuhkan tirai dengan keputusan 0-0, menyaksikan kedua-dua pasukan masih buntu dalam usaha memecah kebuntuan jaringan.

Memasuki separuh masa kedua, Sabah dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan aksi.

Akhirnya, Penang berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke-70 menerusi Dylan Wenzel-Halls sekali gus memberikan keceriaan kepada ribuan penyokong sendiri di Bandaraya.

Selepas itu, beberapa serangan berbahaya pasukan pelawat, The Rhinos menerusi penyerang sensasi, Darren Lok berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Penang, Ramdhan Hamid.

Sabah berjaya meraih gol pada masa kecederaan separuh masa kedua hasil sepakan penalti Gabriel Peres selepas pemain The Rhinos dikasari dalam kawasan kotak penalti Penang.

Aksi di Stadium Bandaraya terikat seri 1-1 bagi kedua-dua pasukan. Kedua-dua pasukan bakal bertemu semula dalam aksi kedua final Challenge Cup 2025-26 di Stadium Likas, Sabah pada 19 April ini.