MFL Denda Kuching City RM30 Ribu, Keputusan Lawan Penang Kekal
MakanBola
Kuching City FC

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan keputusan perlawanan antara Penang FC dan Kuching City FC kekal, meskipun berlaku insiden melibatkan pendaftaran pemain dalam aksi Liga Super pada 15 Mac lalu.

Perkara itu diputuskan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meneliti laporan lengkap daripada kedua-dua pasukan serta pegawai perlawanan dalam mesyuarat khas yang diadakan hari ini.

Hasil siasatan mendapati berlaku kesilapan teknikal dalam penyediaan ‘Team List’ oleh Komisioner Perlawanan apabila pemain Kuching City, Scott Philip Woods, tidak ditandakan dalam senarai rasmi tersebut walaupun telah didaftarkan dalam ‘Selection List’ sebagai pemain simpanan.

Selain itu, MFL turut mendapati berlaku kegagalan dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila Komisioner Perlawanan, Koordinator Perlawanan dan Pegawai Keempat tidak menjalankan pemeriksaan pemain di bilik persalinan seperti yang ditetapkan.

Situasi itu menjadi lebih kritikal apabila pertukaran pemain pada minit 90+6 dibenarkan tanpa semakan menyeluruh terhadap ‘Team List’, sekali gus menyebabkan pemain yang tidak tersenarai secara rasmi diturunkan ke padang.

Susulan itu, MFL mengesahkan berlakunya pelanggaran terhadap Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan Liga Malaysia 2025–2026 melibatkan beberapa pihak termasuk pegawai perlawanan dan kelab.

Sehubungan itu, Kuching City dikenakan denda sebanyak RM30,000 serta amaran keras atas kecuaian dalam memastikan ketepatan maklumat ‘Team List’.

Dalam masa sama, keputusan perlawanan yang menyaksikan Kuching City menewaskan Penang FC 1-0 kekal tanpa sebarang perubahan.

Bagi pegawai perlawanan pula, Komisioner Perlawanan digantung daripada menjalankan tugas selama 12 bulan dengan enam bulan terakhir tertakluk kepada fasa pemulihan, manakala Koordinator Perlawanan digantung selama enam bulan. Tindakan terhadap Pegawai Keempat pula akan ditentukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Untuk rekod, MFL turut memaklumkan bahawa insiden sama pernah berlaku sebelum ini, termasuk melibatkan perlawanan antara Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC pada 2021 serta aksi Penang FC II menentang Terengganu FC II pada 2024, yang turut menyaksikan hukuman dikenakan ke atas pegawai perlawanan dan kelab terlibat.

Dalam pada itu, MFL menegaskan bahawa semua pihak termasuk pegawai perlawanan dan kelab bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan setiap prosedur pertandingan dipatuhi.

Sebarang kecuaian yang boleh menjejaskan integriti pertandingan tidak akan dikompromi, dengan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan standard profesional Liga Malaysia sentiasa terpelihara.