Penang FC mengemukakan aduan rasmi kepada Malaysian Football League (MFL) berhubung tindakan Kuching City FC menurunkan pemain tidak layak dalam aksi kedua-dua pasukan itu baru-baru ini.
Isu ini timbul apabila kumpulan penyokong Penang, Penang Brotherhood memaklumkan ada seorang pemain Kuching City tidak sepatutnya beraksi dalam perlawanan itu.
Pemain yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan Filipina, Scott Woods. Ini kerana berdasarkan senarai pemain kedua-dua pasukan untuk perlawanan itu, nama Woods tidak disenaraikan.
Kuching City hanya menyenaraikan dua tonggak import, Jerome Mpacko Etame dan Ahmad Israiwah di bangku simpanan. Walau bagaimanapun, Woods dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Perlawanan itu menyaksikan Penang tewas 1-0 kepada pelawat menerusi jaringan tunggal Gabriel Nistelrooy.
Susulan itu, pengurusan Sang Harimau Kumbang memaklumkan mereka mengambil berat isu yang dibangkitkan penyokong berhubung aksi berkenaan.
Justeru, Penang telah mengemukakan aduan rasmi kepada MFL dan kini menunggu maklum balas daripada pihak berkaitan.
“Penang FC mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh kelab penyokong di media sosial berhubung dakwaan bahawa Kuching City FC telah menurunkan pemain yang tidak disenaraikan sebagai pemain gantian dalam perlawanan Liga Super Malaysia (Bil. 124).
“Pihak kelab telah mengemukakan aduan rasmi kepada Malaysian Football League (MFL) berhubung perkara ini dan kini sedang menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada pihak berkaitan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengurusan Penang turut komited memastikan setiap perlawanan dijalankan secara adil dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan integriti bola sepak tempatan terjaga.