Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz menyifatkan kesilapan Penang FC menyumbang kepada gol kemenangan Kuching City FC.
Pandangan itu dibuat bekas jurulatih penjaga gol Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) apabila ditanya tentang gol yang dijaringkan Gabriel Nistelrooy itu.
Azmin menyifatkan kesilapan komunikasi membabitkan barisan pertahanan dan penjaga gol Sang Harimau Kumbang menyumbang kepada gol berkenaan.
Beliau percaya jika aspek ini dimantapkan, Penang berpeluang mencuri sekurang-kurangnya satu mata daripada The Cats di Stadium Bandaraya.
“Gol (Kuching City) itu memang tak patut berlaku. Komunikasi di bahagian belakang, itu yang paling mustahak.
“Sebab itu bahagian penting, kesilapan mudah akan membawa kepada gol. Hanya dengan satu komunikasi, itu akan selesaikan masalah,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Kemenangan 1-0 Kuching City menyaksikan pasukan itu memintas Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di tangga kedua dengan 40 mata.
Kedua-dua pasukan itu berpeluang merampas semula tempat kedua apabila bertemu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Ahad.