Calon Naib Juara Liga Super Pilihan Farizal Marlias & Subramaniam
MakanBola
KL City FC

Dua bekas tonggak Harimau Malaya, Farizal Marlias dan S. Subramaniam senada memilih Selangor FC sebagai calon naib juara Liga Super musim ini.

Pandangan dua figura itu dibuat bukan saja dengan mengambil kira kemungkinan pertembungan Selangor dan KL City FC dalam aksi Liga Super berikutnya.

Malah, ini turut berdasarkan senarai perlawanan yang akan dihadapi dua pasukan itu dan Kuching City FC sehingga akhir musim ini.

Farizal percaya Merah Kuning memiliki peluang cerah bergelar naib juara jika berjaya menewaskan KL City.

“Secara jujurnya, saya letakkan Selangor sebenarnya. Jika mereka memenangi perlawanan akan datang bertemu Kuala Lumpur, peluang untuk Selangor berada di tempat kedua sangat cerah.

“Berbanding dengan KL City dan juga Kuching City. Kenapa? KL akan bertemu dengan JDT dan juga akhirnya dengan Kuching City. Sama juga dengan Kuching City, mereka akan bertemu Terengganu dan juga KL City.

“Jika Selangor terlepas mata atau tercicir mata ketika menentang KL City, sudah pasti pelawanan terakhir ini yang menjadi tumpuan kita,” katanya semasa menjadi panel XI Sebelas Utama.

Pandangan Farizal turut dipersetujui Subramaniam. Beliau melihat senarai perlawanan yang dihadapi The City Boys lebih sukar jika dibandingkan dengan Selangor dan Kuching City.

“Ya, saya setuju kerana dapat lihat daripada senarai perlawanan yang kita dapat. Di sini untuk pasukan KL City, mereka perlu menentang dua atau tiga pasukan yang kuat.

“Satu, mereka mempunyai JDT dan mereka mempunyai Kuching City yang mana (sebahagian) daripada tiga atau empat pasukan teratas. Untuk KL City, mungkin cabaran lebih sengit jika dibandingkan dengan Selangor.

“Bagi pasukan Selangor, kita dapat lihat mungkin pasukan yang akan memberikan cabaran KL City, KL City sahaja yang pasukan yang benar-benar berada di kelompok empat teratas untuk memberikan mereka cabaran,” ujarnya.

Selangor dan KL City bakal berentap di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 15 Mac ini.