Kuching City FC tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu pendaftaran pemain, Scott Woods, yang menjadi perhatian selepas aksi Liga Super menentang Penang FC baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Iswandi Ali Hassan menjelaskan bahawa situasi tersebut berpunca daripada ralat teknikal dalam senarai pendaftaran rasmi perlawanan.
Menurut beliau, pihak pengurusan telah membawa seramai 20 pemain ke Pulau Pinang termasuk Scott Woods, manakala Danial Amier tidak bersama pasukan kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan.
Bagaimanapun, pada hari perlawanan, berlaku kesilapan apabila nama Scott Woods yang sepatutnya didaftarkan telah tercicir dalam senarai rasmi dan digantikan dengan nama Danial Amier yang tidak berada bersama pasukan ketika itu.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) pra-perlawanan yang sepatutnya dilaksanakan oleh pegawai perlawanan juga tidak dilakukan.
Kebiasaannya, pegawai perlawanan akan memasuki bilik persalinan sebelum sepak mula untuk membuat pengesahan akhir terhadap nama dan nombor pemain yang didaftarkan. Namun, perkara tersebut tidak berlaku dalam perlawanan berkenaan.
Malah, Scott Woods berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan tanpa sebarang teguran daripada pegawai bertugas.
Situasi itu berlanjutan apabila pemain tersebut dimasukkan pada minit ke-90, dengan pertukaran tersebut diluluskan tanpa sebarang bantahan atau makluman berkaitan status pendaftarannya.
Mengulas lanjut, Iswandi menegaskan bahawa kelab itu akan terus berpegang kepada prinsip untuk beraksi mengikut peraturan serta berdepan dengan setiap cabaran secara profesional.
“Sepanjang 10 tahun kami berada dalam arena bola sepak Malaysia, kami telah menghadapi pelbagai cabaran daripada pihak penganjur, pegawai perlawanan mahupun pasukan lawan.
“Prinsip kami tetap teguh iaitu untuk berjuang dalam konteks peraturan sedia ada, berani berdepan dengan realiti, memperbaiki kelemahan, dan terus melangkah ke hadapan. Ini adalah salah satu lagi cabaran yang akan mematangkan kelab ini,” katanya.
Tambah beliau, Kuching City FC akan memberikan kerjasama penuh kepada Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara profesional mengikut saluran yang ditetapkan.