Penyokong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea berpotensi melihat pasukan itu bertukar tangan.
Senario ini timbul selepas Sky Sports melaporkan pemilik The Blues, Clearlake Capital dan Todd Boehly sedang menilai pilihan saham yang dimiliki mereka.
Clearlake menyatakan secara jelas bahawa mereka tidak berminat menjual pegangan saham Chelsea sebanyak 62%. Pada masa sama, mereka juga bersedia membeli saham yang dimiliki pemegang saham lain termasuk Boehly.
Boehly yang juga pemilik bersama kelab besbol terkenal, Los Angeles Dodgers dilaporkan berkira-kira menjual sahamnya – dua tahun selepas menjadi wajah umum konsortium yang mengambil alih Chelsea.
Penilaian ini dibuat apabila Bloomberg melaporkan hubungan antara kedua-dua pihak dikatakan renggang.
Tiga faktor yang mencetuskan ketegangan antara Boehly dan Clearlake ialah perbezaan pendapat tentang polisi perpindahan, kegagalan meneruskan kemajuan membina stadium baru dan prestasi buruk pasukan di atas padang.
Meskipun begitu, kedua-duanya tetap bersikap profesional dan bersedia memastikan Chelsea terus maju ke hadapan.
Selain Boehly, Mark Walter dan jutawan Switzerland, Hansjorg Wyss turut memiliki pegangan saham dalam The Blues. Ketiga-tiga jutawan ini memiliki gabungan saham hampir 40%.
Chelsea kini dibimbing Enzo Maresca yang juga pengurus keempat era Boehly dan Clearlake. Pasukan itu memulakan musim 2024/25 dalam liga dengan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.