Chelsea berminat untuk menjalankan urusniaga bersama Brighton and Hove Albion apabila salah seorang pemain utama The Seagulls, Kaoru Mitoma sekali lagi menjadi sasaran The Blues.
Kelab yang berpangkalan di London itu kini dibimbing oleh jurulatih baharu dari Itali, Enzo Maresca dan sedang rancak dalam urusan jual beli pemain bagi memantapkan pasukan menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) Ogos nanti.
Antara pemain yang telah sah direkrut oleh Chelsea adalah Tosin Adarabioyo, Omaro Kellyman, Marc Guiu dan Kiernan Dewsbury-Hall yang dikatakan mempunyai darah kacukan England-Malaysia kembali bergabung bersama Maresca.
Meskipun sudah menandatangani beberapa pemain, pihak tertinggi kelab masih belum puas dan mahu mendapatkan lebih ramai lagi dengan pemain sayap dari Brighton, Kaoru Mitoma menjadi sasaran Chelsea selepas ini.
Berita ini dilaporkan oleh wartawan dan pengulas sukan di England, Jacobs Ben berkenaan minat mendalam daripada pihak atasan Chelsea terhadap pemain sayap lincah kelahiran Jepun itu.
”(Kaoru) Mitoma disukai oleh pihak dalaman Chelsea,” ujar Jacobs Ben di laman X.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Mitoma dikaitkan perpindahan ke Chelsea memandangkan sebelum ini The Blues turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan beliau bagi memperkuat bahagian serangan pasukan.
Chelsea dan Brighton and Hove Albion sering kali terlibat dalam urusan jualbeli pemain dan pengurus antara satu sama lain dengan beberapa nama seperti Moises Caicedo, Robert Sanchez, Marc Cucurella dan Graham Potter antara yang menjadi tumpuan.