Pertembungan aksi persahabatan Tier 1 antara China dan Malaysia bakal diserikan dengan pertarungan jentera serangan kedua-dua pasukan yang mungkin bakal menjadi pemisah.
Menerusi satu kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Harimau Malaya rasmi akan berdepan Syria dan China pada September ini.
Kedua-dua pasukan ini berada pada kedudukan yang lebih baik daripada Malaysia di samping memiliki jentera yang berpengalaman luas di pentas bola sepak antarabangsa.
Kudrat China bagaimanapun tertumpu kepada kekuatan serangan pasukan yang diketuai oleh Elkeson, penyerang kelahiran Brazil yang cukup prolifik di hadapan gawang.
Pemain berusia 34 tahun itu sudah pun melakukan debut bersama China pada tahun 2019 dan beraksi dalam 15 perlawanan.
Bekas pemain Gremio di Brazil ini kini beraksi bersama Chengdu Rongcheng di China dan sudah menjaringkan 4 gol dalam saingan liga musim ini.
Beliau telah mengetuai jentera serangan China dalam dua aksi persahabatan berdepan Myanmar dan Palestine, Jun lalu.
Elkeson menjaringkan satu gol ketika berdepan Myanmar dan membantu pasukan meraih kemenangan 4-0.
Pengalaman beraksi bersama skuad bawah 23 tahun Brazil sudah pasti menjadi cabaran hebat buat anak buah Kim Pan-gon untuk menyekat kemaraan beliau yang memiliki ketinggian amat baik selaku penyerang utama.
Malaysia juga tidak mahu melepaskan peluang mempersiap pasukan di samping meraih kemenangan untuk memperbaiki kedudukan negara dalam ranking FIFA.
Sebagai rekod, Malaysia juga memiliki tiga pemain naturalisasi dari Brazil iaitu Guilherme De Paula, Paulo Josue dan juga Endrick Dos Santos.