Malaysia kembali berada di kedudukan terbaik berdasarkan ranking FIFA rasmi selepas negara dari Kepulauan Carribean, St Kitts and Nevis menjadi pemudah cara untuk Malaysia terus menghambat kedudukan Filipina.
Harimau Malaya sebelum ini di kedudukan 137 selepas St Kitts and Nevis tewas dua aksi menentang Trinidad & Tobago dan Amerika Syarikat.
Dalam dua aksi Piala Emas Concacaf itu, St Kitts and Nevis tewas 3-0 kepada Trinidad & Tobago dan dibelasah teruk Amerika Syarikat 0-6 sekaligus menyebabkan mereka kehilangan -3.40 mata dan turun ke tangga 139 dunia berbanding 136 sebelum ini.
Namun begitu, perkara ini diburukkan lagi apabila St Kitts and Nevis tewas aksi terakhir berdepan Jamaica sekaligus menyebabkan ranking pasukan terjejas.
Sementara itu, Malaysia memperoleh manfaat selepas kembali ke tangga 136 dunia berbanding 137 dengan mata keseluruhan sebanyak 1091.57 kekal seperti yang dikeluarkan secara rasmi secara berkala oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA beberapa hari lalu.
Berdasarkan kemas kini semasa, St Kitts and Nevis turun 9 anak tangga dari kedudukan ke-136 dunia kepada 145 dunia selepas kehilangan -25.22 mata secara keseluruhan.
Perkembangan ini menyaksikan di rantau Asia Tenggara, Vietnam kekal di tangga teratas di tangga ke-95, Thailand (114), Filipina (135), Malaysia (136), Indonesia (150), Singapura (158), Myanmar (160), Kemboja (176), Laos (187), Brunei (190), dan Timor-Leste (192).
Kedudukan ini menyaksikan Malaysia dalam landasan positif untuk mengejar kedudukan Filipina yang kini menghuni tangga ke-135 dunia dengan 1096.55 mata.
Malaysia dalam landasan terbaik bagi persiapan persahabatan antarabangsa bulan September selepas pihak FAM kini dalam perbincangan dengan Mesir dan China untuk mengatur aksi sebagai persiapan sebelum ke Piala Asia 2023 di Qatar tahun hadapan.