Malaysia kini mencatatkan kemajuan yang cukup memberangsangkan apabila ranking pasukan negara dikhabarkan naik lagi setelah aksi bulan Jun berakhir.
Malaysia memperoleh mata maksimum ranking FIFA dalam tetingkap kali ini selepas berjaya memenangi kedua-dua aksi perlawanan persahabatan berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.
Anak buah Kim Pan-gon mencatatkan kemenangan terhadap Kepulauan Solomon sekaligus memberikan Malaysia tambahan mata sebanyak +5.21.
Kejayaan besar membelasah Papua New Guinea dengan jaringan 10-0 memberikan tambahan +4.24 mata kepada Malaysia menjadikan mata keseluruhan yang dipungut adalah +9.45.
Tambahan mata ini juga menjadikan Harimau Malaya sebagai pasukan teratas di Asia Tenggara dengan jumlah pungutan mata terbanyak dalam tetingkap FIFA kali ini.
Ia juga menyaksikan Malaysia berjaya mendaki satu anak tangga dari kedudukan 138 kepada 137 dunia.
Rangking FIFA: Hampiri kedudukan Filipina
Pungutan mata terbaru FIFA ini juga memastikan Malaysia berjaya merapatkan jurang pungutan mata dengan pencabar terdekat negara, Filipina yang kini berada di tangga ke-135 dengan 1,095.65 mata dengan perbezaan hanya sebanyak 4.07 mata.
Tetingkap FIFA seterusnya dijadualkan pada 4–12 September 2023 dengan Malaysia dikhabarkan sudah pun mengatur perlawanan berdepan China dan juga Taiwan.
Bagi aksi berikutnya akan berlangsung pada 9–17 October 2023, dan 13–21 November 2023 sebelum bermulanya temasya Piala Asia 2023 di Qatar pada awal tahun 2024 nanti.