China Buru Khidmat Shin Tae-yong
MakanBola
PSSI

Bekas jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dilaporkan berada dalam radar Persatuan Bola Sepak China (CFA).

Portal TheThao247 melaporkan CFA berharap dapat membawa masuk jurulatih Korea Selatan itu sebagai pengganti jurulatih Croatia, Branko Ivankovic.

CFA memecat bekas pengendali Oman itu susulan prestasi longlai China dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Selain menamatkan kempen kelayakan di tangga tercorot Kumpulan C, China juga tewas tujuh kali dalam 10 aksi kelayakan. Ini termasuk kekalahan 1-0 di tangan Indonesia pada 5 Jun lalu

Legenda China, Zheng Zhi dilaporkan bakal menggalas peranan sebagai jurulatih interim sementara proses pelantikan jurulatih baharu dibuat.

Nama Tae-yong menjadi pilihan CFA selepas membantu menaikkan prestij Indonesia di peringkat antarabangsa. Beliau juga dilihat fleksibel dari segi perancangan taktikal perlawanan.

Meskipun begitu, jurulatih berusia 54 tahun itu masih belum memberi sebarang tanda tentang hala tujunya sebagai jurulatih selepas ini.

Ini ditambah dengan kesibukan Tae-yong selepas kembali ke Korea Selatan. Selain bergelar Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA), beliau juga menggalas peranan sebagai Pengurus Besar Seongnam FC.