Persatuan Bola Sepak China (CFA) mengorak langkah dengan melantik jurulatih Sepanyol, Antonio Puche sebagai pengendali skuad China Bawah 21 Tahun (B-21).
Perlantikan jurulatih berusia 52 tahun itu diumumkan CFA menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi badan induk itu pada 16 Ogos lalu.
Puche bukan asing dengan arena bola sepak China. Berdasarkan semakan di Transfermarkt, beliau pernah melatih skuad China B-16 hingga B-21 dari 2018 hingga 2023.
Bekas jurulatih Qadsia SC itu turut bertanggungjawab membimbing skuad China B-20 layak ke peringkat suku akhir Piala Asia B-20 yang diadakan pada Mac tahun lalu.
Selepas kontraknya bersama CFA tamat, Puche menggalas cabaran membimbing kelab Bolivia, Oriente Petrolero. Walau bagaimanapun, beliau hanya bertahan selama 14 perlawanan sebelum meninggalkan kelab itu pada November 2023.
Kini, Puche kembali mewarnai bola sepak Asia dengan membimbing skuad China B-21. Sentuhannya bakal ditagih untuk CFA Team China International Friendly Tournament pada September ini.
Kejohanan ini bakal menyaksikan China bakal ditentang tiga lagi negara iaitu Malaysia, Vietnam dan Uzbekistan.
China berharap sentuhan Puche dapat membantu pasukan itu tampil cemerlang dalam saingan Piala Asia B-20 2025. Ini kerana pasukan itu layak selaku tuan rumah kejohanan.