Ciri-Ciri Jurulatih Terbaik Selangor Menurut Asmawi Bakiri
MakanBola
Astro Arena
Sponsors

Bekas pemain pertahanan Selangor FC, Asmawi Bakiri berpandangan pasukan itu perlu mencari seorang jurulatih yang berkaliber seandainya mereka mahu menggantikan Nidzam Jamil.

Kedudukan Nidzam selaku jurulatih Merah Kuning kini dalam tekanan susulan kekalahan 3-0 pasukan itu di tangan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) baru-baru ini.

Ad

Gol penjaring terbanyak liga, Bergson da Silva dan penyerang kebangsaan, Romel Morales memastikan JDT meraih tiga mata penuh.

Ad

Ini kekalahan kedua Selangor di tangan Harimau Selatan dalam musim 2024/25. Sebelum ini, Merah Kuning juga terpaksa akur kepada lawan sama di pentas final Piala FA 2024.

Asmawi melihat Selangor perlu mencari seorang jurulatih bernama besar bersesuaian dengan identiti pasukan itu sebagai antara kelab gergasi tanah air.

Ad

Pada masa sama, beliau melihat mana-mana jurulatih yang mahu direkrut perlu berupaya membantu Selangor memberi cabaran di Liga Malaysia (Liga M) mahupun Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Ad

“Identiti Selangor yang nama besar ini perlukan jurulatih yang ada identiti nama besar. Itu yang mereka perlukan untuk selarikan gah dengan nama Selangor. Atau pun nak berikan cabaran (buat) pasukan Selangor dalam Liga Malaysia atau liga luar.

Ad

“Itu yang mereka perlu adalah. Kalau setakat bawa jurulatih yang tiada identiti kelab besar, (lebih) bagus untuk kekalkan Nidzam Jamil. Itu perkara macam itulah,” katanya kepada Nadi Arena.

Asmawi yang juga bekas pemain pertahanan kebangsaan memaklumkan pengurusan Merah Kuning perlu bijak memilih siapa calon jurulatih yang dimahukan.

Ini kerana sekiranya jurulatih yang dipilih gagal membantu Selangor menunjukkan peningkatan dalam liga mahupun ACL2, itu pasti akan memberi kesan kepada kempen pasukan.

“Tapi bagi saya, pengurusan Selangor kena lebih pekalah dan teliti jika perlu bawa nama (jurulatih) yang besar. Tiada isu sebenarnya.

“Kalau tewas dan tidak boleh ubah corak permainan serta kedudukan Selangor dalam liga, ia akan menjadi satu pembelian atau kemasukan yang tidak menjadi dalam kem Selangor,” ujarnya.

Selangor kini di tangga kedua liga dengan 26 mata, lapan mata di belakang Harimau Selatan. Kini, fokus pasukan itu beralih kepada aksi liga menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2 November ini.

Merah Kuning berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan Kedah 1-0 di Stadium MBPJ pada Mei lalu.