Aksi terakhir kumpulan D Copa America yang menemukan Brazil dan Colombia menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri dalam satu aksi yang menghiburkan.
Di atas kertas, Brazil miliki peluang cerah untuk meraih tiga mata berdasarkan kedudukan ranking namun Colombia tampil lebih cemerlang di peringkat kumpulan setelah merakam dua kemenangan untuk mengungguli carta.
Brazil membariskan barisan terkuatnya dengan gandingan Vinicius Jr dan Rodrygo ditugaskan untuk menggegar gawang lawan sementara Colombia diketuai oleh bekas pemain Real Madrid, James Rodriguez di jentera tengah pasukan.
Seawal minit ke-12, Brazil sudah di hadapan hasil sepakan percuma pemain sayap FC Barcelona, Raphinha yang terus menerjah ke penjuru kiri gawang Colombia yang dikawal oleh Camilo Vargas.
Davinson Sanchez menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-20 buat Colombia namun jaringannya dibatalkan setelah semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain tersebut berada di dalam posisi ofsaid.
Sebelum memasuki bilik persalinan, jaringan penyamaan yang dicari akhirnya tiba menerusi Daniel Munoz yang melepasi perangkap ofsaid untuk meledak gol pertama Colombia menewaskan Alisson Becker.
Separuh masa tamat, Brazil 1-1 Colombia.
Kembali dari rehat, jurulatih Brazil, Dorival Junior mula membuat pertukaran dengan membawa masuk Andreas Pereira bagi menggantikan Lucas Paqueta, begitu juga dengan Colombia yang menukar pemain pertahanan kiri.
Raphinha memiliki peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring sekali lagi setelah sejam permainan berlangsung, namun sepakan percumanya kali ini sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Colombia.
Colombia hampir mendapatkan jaringan kedua ketika aksi berbaki enam minit lagi akan tetapi hantaran lintang Luis Diaz gagal disambar kemas Rafael Borre apabila bola meninggi melewati palang gol.
Aksi di Santa Clara berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Keputusan ini meletakkan Colombia di kedudukan pertama kumpulan D dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan, sementara Brazil pula terpaksa berpuas hati menamatkan saingan kumpulan di tangga kedua dengan lima mata.