Pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hector Bidoglio mengakui corak hantaran jauh menyukarkan pasukan itu bila berdepan Sabah FC pada 13 Julai lalu.
Aksi terbaru Liga Super menyaksikan JDT bertandang ke Stadium Likas untuk memburu kemenangan kelima dalam liga.
Selepas mendahului menerusi dua gol Romel Morales, Sabah mendapat talian hayat menerusi penalti Gabriel Peres. Penalti minit akhir Bergson da Silva memastikan tiga mata menjadi milik Harimau Selatan.
Bidoglio mengakui corak hantaran jauh yang diamalkan anak buah Datuk Ong Kim Swee menyukarkan JDT dalam merencana permainan mereka. Ini kerana corak tersebut berbeza dengan corak permainan yang berteraskan penguasaan bola yang digunakan JDT.
Keadaan ini memaksa Bidoglio membuat beberapa perubahan pada separuh masa kedua bagi memastikan kelebihan yang dimiliki JDT tidak terjejas.
“Kita berdepan kesukaran kerana mereka (Sabah) bermain hantaran jauh. Mereka kerap bermain hantaran jauh (sedangkan) JDT lebih kepada penguasaan bola. Dan bila kita kehilangan bola, pemain lawan akan menggunakan hantaran jauh.
“Dan kadang-kadang kita berdepan masalah (tentang perkara ini). Satu penalti terhasil akibat hantaran jauh (Sabah). Selepas penalti (Gabriel Peres), kita tangani isu ini dan kita tidak berdepan masalah,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan di Stadium Likas.
Kemenangan ini memastikan JDT kekal mendahului liga dengan 15 mata. Ini juga tonik semangat buat pasukan itu menjelang aksi separuh akhir menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 19 Julai ini.