Advertisement
Corbin-Ong: Kekalahan Bertemu Oman Tidak Akan Berulang Lagi
Harimau Malaya
MakanBola
Azri/MakanBola

Pertahanan kental Harimau Malaya, La’Vere Corbin-Ong optimis untuk membantu pasukan meraih kejayaan cemerlang berdepan Oman di laman sendiri.

Pemain berusia 33 tahun itu turun dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang pasukan ke-80 dunia itu pada aksi di Muscat pada 22 Mac 2024.

Harimau Malaya bagaimanapun tidak berpeluang untuk merakamkan kemenangan ketiga selepas dikecewakan oleh Oman dengan keputusan 2-0.

Beliau bagaimanapun optimis untuk membantu skuad kebangsaan mencipta kemenangan di laman sendiri menentang Oman di Bukit Jalil.

“Apabila beraksi di laman sendiri, kami mahu memanfaatkan atmosfera di Bukit Jalil dengan bertahan secara satu unit dan juga menghidupkan peluang untuk menyerang.”

“Kita perlu menyerang dan bertahan sebagai satu unit. Setiap pemain perlu memainkan peranan yang sama mengikut perancangan pasukan.”

“Tidak mudah untuk pemain menerima kekalahan tetapi semua pemain profesional dan bakal memberikan yang terbaik. Kita tahu Oman pasukan nombor satu dalam kumpulan tetapi kami turun dengan penuh hormat dan kekalahan lalu tidak akan berulang lagi, ” ujar Corbin-Ong ketika ditemui di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya.

Harimau Malaya kini menghuni tangga ke-134 dunia dan berpeluang untuk melonjak kedudukan ranking FIFA sekiranya menewaskan skuad kendalian Jaroslav Silhavy.

Aksi antara Malaysia dan Oman akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 26 Mac 2024 jam 10 malam.