Kempen kelayakan Piala Dunia 2026 diteruskan melibatkan pertembungan antara Malaysia dan Oman bagi saingan Kumpulan D. Oman melayan kunjungan skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Qaboos.
Babak pertama perlawanan menyaksikan Oman dirantai Malaysia apabila keputusan seri tanpa jaringan dicatat.
Peluang terbaik buat Oman hadir pada minit ke-21 permainan apabila hantaran jauh pemain Oman menguji barisan pertahanan Harimau Malaya. Penyerang Oman, Issam Sabhi hampir-hampir menggegar jaring namun penyudah saat akhir beliau tidak menatijahkan jaringan.
Malaysia juga beberapa kali hadir memberi ancaman buat Oman namun masih tidak cukup untuk memecah kebuntuan permainan. Separuh masa pertama tamat, Oman 0-0 Malaysia.
Bersambung aksi di babak kedua permainan, Oman akhirnya mencipta gol pertama perlawanan menerusi Issam Sabhi. Kelekaan pertahanan kebangsaan telah dimanfaatkan Ali Sulaiman untuk melakukan satu hantaran buat Issam Sabhi sebelum penyerang berusia 26 tahun itu melepaskan satu rembatan kencang menewaskan penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi.
Beberapa minit selepas jaringan pasukan tuan rumah terhasil, Harimau Malaya miliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan. Sayangnya tandukan Corbin Ong selepas menerima hantaran Faisal Halim terkena palang.
Beberapa pertukaran sempat dilakukan Kim Pan-gon untuk mengukuhkan barisan serangan Harimau Malaya.
Pemain gantian, Paulo Josue hadir pada minit ke-80 permainan dengan satu rembatan menggegar jaring. Namun jaringan itu dibatalkan pengadil kerana Paulo Josue berada dalam kedudukan offside.
Sebelum tamat permainan, Oman terus menutup hasrat Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri. Muhsen Al-Ghassani pada minit ke-88 permainan mencatat nama sebagai penjaring sekaligus memastikan kemenangan menjadi milik Oman.
Perlawanan tamat, Oman 2-0 Malaysia.
Dalam saingan Kumpulan D ketika ini, Oman sedang mengungguli carta dengan enam mata, berkongsi mata bersama Kyrgyzstan (2) dan Malaysia (3). Kedudukan ini hanya dibezakan dengan kelebihan jaringan.
Malaysia dan Oman sekali lagi akan berentap untuk aksi seterusnya bagi saingan peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Aksi tersebut akan berlangsung pada Selasa, 26 Mac 2024 tepat jam 10 malam.