Advertisement
Craig Duncan Bawa Rekod Hebat Buat Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
Football Australia

Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaya yang baharu, Dr. Craig Duncan memiliki reputasi hebat berdasarkan rekodnya bersama beberapa pasukan sebelumnya.

Duncan menjadi individu terbaru dibawa masuk sebagai sebahagian daripada revolusi Harimau Malaya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuktamadkan pelantikan Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad senior dan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).

FAM turut melantik bekas penyerang Kanada, Rob Friend untuk menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.

Berdasarkan skop tugasnya itu, Duncan bertanggungjawab mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi Harimau Malaya seperti kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan.

Pendekatan beliau yang inovatif dan holistik membantu pasukan-pasukan berprestasi tampil mantap dan mengurangkan kadar kecederaan membabitkan atlet mereka.

Ini terbukti menerusi beberapa pasukan yang pernah memanfaatkan kepakaran Duncan. Beliau membantu Sydney FC muncul juara A-League.

Satu lagi kelab A-League, Western Sydney Wanderers berjaya meraih gelaran juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2014 selepas memanfaatkan kepakarannya.

Selain membantu Australia muncul juara Piala Asia 2015, sentuhan Duncan turut membantu Iran mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Asia 2019.

Pencapaian demi pencapaian yang dilakar pasukan-pasukan tersebut jelas menunjukkan kredibiliti Duncan sebagai antara pakar sains sukan terkemuka di dunia.

Sentuhannya sudah pasti akan ditagih lebih-lebih lagi untuk aksi pertama pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Nepal. Aksi itu akan berlangsung pada 25 Mac ini.