Advertisement
Craig Duncan Dilantik Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Harimau Malaya bakal dibantu kepakaran hebat oleh Ketua Prestasi Tinggi Dan Perubatan baharu iaitu Dr. Craig Duncan.

Pengumuman pelantikan Craig Duncan ini dibuat menerusi satu kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman sesawang rasmi dan media sosial badan induk itu pada Khamis.

FAM hari ini mengumumkan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan,” umum badan induk bola sepak negara itu.

Kredibiliti Craig dalam bidang sains sukan amatlah hebat apabila beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Performance Intelligence Agency dan pernah bertugas bersama Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA)

“Dr. Craig merupakan CEO di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini dan beliau pernah menjadi Ketua Sains Sukan FFA selama 4 tahun dari 2014 hingga 2018.”

Selain itu, beliau juga memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana Kepimpinan bahkan bergelar Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di salah sebuah universiti di Australia.

“Dr. Craig juga merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini.”

“Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.”

Kehadiran Craig ke Malaysia ini turut bersama visi dan misi yang besar dalam mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi selain mengaplikasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak negara.

”Dr. Craig telah meletakkan Visi bagi mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk sains sukan dan perubatan sukan; membolehkan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan mencapai kejayaan yang berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.”

“Bagi Misi pula, Dr. Craig mahu mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia; meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.”

Dr. Craig bakal memulakan tugas rasmi pada Januari 2025 bersama 3 lagi watak penting dalam projek revolusi Harimau Malaya iaitu Rob Friend, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain.