Aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dijangka menjadi fokus awal Dr. Craig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Harimau Malaya.
Selepas tersingkir di peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024, fokus skuad senior Malaysia kini beralih kepada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Harimau Malaya berada dalam Kumpulan F bersama juara ASEAN Championship 2024, Vietnam. Nepal dan Laos turut berada dalam kumpulan sama.
Aksi pertama kumpulan menentang Nepal menjadi fokus awal Duncan. Ini kerana ini juga aksi pertama buat pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Justeru, bekas ketua sains sukan Persatuan Bola Sepak Australia (FFA) itu mahu memastikan Harimau Malaya dalam keadaan mantap dan mampu dimanfaatkan Cklamovski.
“Sasaran pertama kita ialah kita ada perlawanan besar pada 25 Mac menentang Nepal dan itulah tumpuan kami sekarang ini,” katanya.
“Saya sangat bertuah kerana pernah bekerjasama dengan ketua jurulatih kita, Peter Cklamovski. Beliau seorang jurulatih yang bagus dan saya tahu apa yang beliau mahukan.
“Itulah keutamaan kita untuk mendapatkan struktur kem yang betul, mengenali pemain, menguruskan pemain melalui kem itu dan berikan kepada pemain bagaimana Peter (Cklamovski) memerlukan mereka untuk bermain permainan itu.”
Malaysia bakal berdepan The Gorkhalis di Kathmandu pada 25 Mac ini. Pasukan ini juga dijangka diperkuatkan dengan kehadiran tujuh bintang warisan baru.