Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr. Craig Duncan memiliki aspirasi mengubah Harimau Malaya sebagai pasukan paling cergas di Asia.
Duncan menyertai struktur pengurusan baharu Harimau Malaya bersama Rob Friend, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain.
Sebelum ini, beliau pernah menggalas peranan sebagai Ketua Sains Sukan Football Australia (FA). Duncan juga pernah membantu beberapa pasukan seperti Australia, Iran, Sydney FC dan Western Sydney Wanderers.
Duncan percaya menerusi aspek sains sukan, beliau mahu membantu skuad kebangsaan kembali berada pada tahap terbaik.
Ini penting lebih-lebih lagi dengan Malaysia bakal mengharungi kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 di bawah bimbingan Cklamovski.
“Sasaran saya adalah untuk menjadikan pasukan kebangsaan Malaysia sebagai pasukan paling cergas di Asia. Ketika ini, perjalanan kita masih panjang.
“Tetapi kita akan sampai ke tahap tersebut. Ini semua berkait dengan strategi yang bakal kita guna pakai. Usaha ini harus selari dengan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia,” katanya.
Antara skop tugas Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan ialah kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan.
Justeru, beliau bersedia memanfaatkan pengalaman bersama beberapa pasukan sebelumnya untuk membentuk rangka kerja bertaraf dunia buat Harimau Malaya.
“Pengalaman saya amat luas. Saya pernah bekerja dengan beberapa negara sebelum saya membuat keputusan untuk menyertai revolusi pasukan kebangsaan Malaysia ini,” katanya.
“Secara asasnya, tugas selaku Ketua Prestasi Tinggi adalah menguruskan perkara-perkara berkaitan dengan sains sukan, sains perubatan, kecergasan, nutrisi dan juga psikologi pemain.
“Bagi saya, semua aspek tersebut amat penting untuk memaksimumkan prestasi setiap pemain bagi membantu tugas ketua jurulatih, Peter Cklamovski.”
Duncan dan Friend memulakan tugas secara rasmi di Wisma FAM baru-baru ini.