Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo bakal kekal bersama pasukan gergasi Arab Saudi, Al-Nassr pada musim hadapan.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Nassr, Guido Fienga tidak lama selepas final King’s Cup antara Al-Nassr dengan Al-Hilal.
Sebelum ini, timbul khabar angin yang mengaitkan Ronaldo dengan perpindahan ke juara Bundesliga musim 2023/24, Bayer Leverkusen.
Khabar angin ini timbul disebabkan hubungan baik yang terjalin antara bekas penyerang Manchester United itu dengan pengurus Leverkusen, Xabi Alonso.
Hubungan baik Ronaldo dan Alonso terjalin selepas kedua-duanya beraksi untuk kelab gergasi La Liga, Real Madrid selama beberapa tahun.
Walau bagaimanapun, khabar angin ini dinafikan oleh wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano menerusi pengesahan oleh Fienga. “CEO Al-Nassr, Guido Fienga mengesahkan Cristiano Ronaldo akan kekal di kelab pada musim hadapan.
“Tiada keraguan, tiada perubahan rancangan untuk bintang Portugal itu,” katanya di X.
Mengikut data Transfermarkt, Ronaldo masih memiliki baki kontrak setahun dengan kelab gergasi Arab Saudi itu. Kontraknya bakal berakhir pada 30 Jun 2025.
Legenda Portugal itu kecewa gagal membantu Al-Nassr menambah koleksi trofi musim 2023/24 apabila pasukan itu tewas 5-4 kepada Al-Hilal menerusi penentuan sepakan penalti.