Cristiano Ronaldo Labur RM238 Juta Untuk Majukan Permainan Video Baru
Bisnes
Al-Nassr FC
Advertisements

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo menjadi figura bola sepak terbaru yang menceburi dunia e-sukan.

Akhbar Daily Mail melaporkan beberapa hari lepas, permainan video bola sepak terbaru UFL mengumumkan Ronaldo sebahagian daripada sekumpulan pelabur yang menyuntik modal bernilai £40 juta (RM238 juta).

UFL atau nama penuhnya United Football League dihasilkan oleh pembangun permainan video Strikerz Inc. dan diperkenalkan pada 2022.

Advertisements

“Cristiano Ronaldo menyertai UFL sebagai pelabur! Kami teruja untuk bekerjasama untuk UFL dan membangunkan sebuah permainan yang adil dan mementingkan kemahiran bagi peminat bola sepak di seluruh dunia,” kata pengurusan UFL dalam satu kenyataan di X.

Walaupun permainan ini belum lagi dikenali seperti mana EA Sports FC (dahulunya FIFA) dan eFootball (dahulunya Pro Evolution Soccer), UFL bersedia untuk bersaing dengan dua jenama permainan video terkemuka itu.

Dan sebagai tanda sokongan kepada usaha tersebut, Ronaldo turut diperkenalkan dalam trailer promosi UFL pada tahun lepas.

Advertisements

Selain Ronaldo, bintang-bintang lain yang ditampilkan ialah Romelu Lukaku, Kevin de Bruyne dan Roberto Firmino.

UFL difahamkan mempunyai kerjasama dengan badan pemain bola sepak profesional antarabangsa FIFPro untuk menggunakan nama dan rupa pemain dalam permainan tersebut.

Selain itu, beberapa kelab seperti West Ham United, Glasgow Rangers dan AS Monaco turut memiliki perjanjian pelesenan dengan UFL bagi menampilkan logo kelab masing-masing.

Advertisements

Ronaldo mengikut jejak langkah ramai legenda dan pemain bola sepak yang bergiat dalam dunia e-sukan dalam pelbagai kapasiti.

Misalnya, Sergio Aguero, David de Gea dan Diogo Jota aktif sebagai pemilik atau pemilik bersama pasukan e-sukan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram