AFC & Astro Lanjutkan Kerjasama
MakanBola
AFC

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan telah melanjutkan kerjasama dengan Astro sehingga musim 2028/29.

Pengumuman itu dibuat AFC menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi badan induk itu. Hal ini menyaksikan Astro kekal menjadi rakan media rasmi badan induk bola sepak Asia itu.

Kerjasama ini menyaksikan Astro bukan saja mendapat hak menyiarkan Piala Asia 2027. Malah, kerjasama ini meliputi portfolio kejohanan lelaki, wanita dan remaja anjuran AFC termasuk Kejohanan Bola Sepak Wanita Olimpik 2028 (kelayakan Olimpik Zon Asia).

Kerjasama ini turut menyaksikan Astro mengekalkan hak penyiaran perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Liga Juara-Juara Wanita AFC (ACLW).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John melihat kerjasama ini bersifat menang-menang buat Astro dan badan induk berkenaan.

“Astro telah menjadi rakan kongsi yang hebat dalam mengembangkan jejak kejohanan Asia di Malaysia. Dan kami yakin mereka akan terus memberikan pengalaman tontonan berbilang platform yang menarik untuk kejohanan bola sepak utama Asia.

“Memperbaharui kerjasama kami yang sedia terjalin dengan Astro mencerminkan visi bersama kami untuk membawa pertandingan AFC bertaraf dunia ini lebih dekat kepada peminat.

“Dan kami berharap dapat bekerjasama dengan Astro untuk memperdalam penglibatan bola sepak dan mempamerkan bakat luar biasa di seluruh Asia,” katanya.

Berita ini dilihat berita baik buat peminat bola sepak negara yang ingin melihat kelab Malaysia beraksi di pentas Asia. Musim 2026/27 menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC masing-masing akan bersaing dalam ACLE dan ACL2.