Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi rekod sejarah dengan meledakkan gol ke-900 dalam kariernya.
Akhbar Daily Mail melaporkan gol tersebut dicipta dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA (UNL) antara Portugal dan Croatia di Lisbon awal pagi ini.
A Selecao membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi bek kanan Manchester United, Diogo Dalot. Ronaldo menggandakan kelebihan Portugal pada minit ke-34 apabila mudah menolak hantaran pemain A.C Milan, Rafael Leao.
Dalot kemudiannya bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-41. Meskipun Croatia cuba mendapatkan gol penyamaan, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ronaldo turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 7.7 atas usahanya mengetuai jentera serangan A Selecao.
Mengikut data Transfermarkt, gol pertama Ronaldo terhasil dalam aksi Sporting Lisbon dengan Moreirense pada 7 Oktober 2002. Tiada siapa menyangka gol tersebut menjadi pencetus rekod sensasi yang dilakar bekas penyerang United itu.
Lebih menakjubkan, tidak kira di mana saja kelab yang menjadi pilihan Ronaldo, beliau akan menjaringkan sekurang-kurangnya 100 gol. Semasa bersama United dari 2003 hingga 2009, beliau menjaringkan 145 gol.
Manakala di Bernabeu pula, Ronaldo menjaringkan 450 gol untuk Real Madrid. Walaupun hanya bersama Juventus selama tiga tahun, beliau masih mampu meledakkan 100 gol.
Rekod 900 gol yang dimiliki Ronaldo jauh mengatasi pesaing lamanya, Lionel Messi. Messi ketika ini memiliki 838 gol yang dicipta untuk kelab dan pasukan kebangsaan Argentina.
Meskipun cukup dikenali sebagai peledak gol berbisa, penyerang Al-Nassr itu kini fokus kepada usaha terbarunya iaitu UR Ronaldo di platform YouTube. Ketika ini, saluran berkenaan sudah merekodkan lebih 55 juta pengikut.