Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo berazam mahu menewaskan penggiat YouTube terkenal, MrBeast dari segi bilangan pengikut.
Akhbar Marca melaporkan azam itu dizahirkan beliau selepas memiliki lebih 55 juta pengikut di platform berkenaan. Ketika ini, MrBeast memiliki pengikut teramai di YouTube iaitu sebanyak 313 juta pengikut.
“Anak-anak saya bergurau dengan mengatakan saya menjadi penggiat YouTube tetapi matlamat sebenar saya ialah berhubung lebih rapat dengan para peminat saya. Dan ya, saya nak tewaskan MrBeast,” katanya secara berseloroh dalam satu temu bual baru-baru ini.
Sejak melancarkan saluran YouTube yang diberi nama UR Ronaldo pada Julai lalu, bekas penyerang Manchester United itu telah memecahkan rekod demi rekod di platform berkenaan.
Ronaldo sudah memecahkan rekod MrBeast dari segi tempoh mendapatkan 10 juta pengikut. Dalam tempoh 12 jam, penyerang Al-Nassr itu berjaya melakukannya sekaligus mengatasi rekod 132 hari yang dicipta penggiat YouTube berkenaan.
55 juta pengikut yang dimiliki Ronaldo turut meletakkannya dalam kedudukan terbaik untuk memintas selebriti seperti Taylor Swift dan Justin Bieber di platfrom berkenaan. Kedua-duanya masing-masing memiliki 59 juta dan 73 juta pengikut di YouTube.
Platform YouTube membantu Ronaldo meluahkan beberapa perkara yang mahu diketahui peminat. Ini termasuk cabaran yang dihadapi bila beliau memilih berhijrah ke Arab Saudi.