Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo melihat adaptasi sebagai cabaran yang perlu dihadapi bila berpindah ke Arab Saudi.
Selepas memilih meninggalkan Manchester United secara persetujuan bersama pada November 2022, Ronaldo memilih berkelana ke Timur Tengah. Beliau memilih Al-Nassr sebagai kelab barunya pada Januari 2023.
Perpindahan tersebut mengejutkan ramai pihak ketika itu kerana ramai peminat bola sepak menyangka Ronaldo akan kekal beraksi di Eropah.
Sejak itu, perpindahannya membuka jalan kepada perpindahan bintang-bintang Eropah lain ke Arab Saudi. Antara yang berbuat demikian ialah Aymeric Laporte, Riyad Mahrez, Roberto Firmino dan terbaru, Joao Cancelo.
Ronaldo mengakui adaptasi antara cabaran yang perlu dihadapinya semasa di Arab Saudi. Pada masa sama, beliau menganggap perkara itu mudah kerana beliau sudah kerap mengembara sejak berusia 11 tahun.
Ini kerana perjalanan karier bola sepaknya telah membawa Ronaldo ke merata tempat termasuk England, Itali dan Sepanyol.
“Bagi saya, itu mudah. Saya datang dari Madeira ke Lisbon, (kemudiannya) Lisbon ke England. England ke Itali dan kemudian kembali ke Sepanyol.
“Bagi saya, itu bukan satu masalah. Bagi saya, itu sebahagian daripada kehidupan saya. Saya sudah biasa dengan kehidupan sebegini,” katanya dalam satu temu bual bersama rakan rapat dan legenda The Red Devils, Rio Ferdinand untuk saluran YouTube rasmi beliau.
Ronaldo turut menyifatkan adaptasi di Arab Saudi tidak jauh beza dengan negara-negara lain. Beliau menganggap tiada negara yang sempurna.
Yang pasti, Ronaldo menikmati pengalamannya di Al-Nassr sepanjang berada di Arab Saudi. Ini secara tidak langsung membantunya menyerlah bersama pasukan gergasi Arab Saudi itu.
“Kita boleh bercakap tentang liga, kita boleh bercakap tentang cuaca. Tapi tiada negara yang sempurna dan bagi saya, beradaptasi (di Arab Saudi) mudah. Dan sejujurnya, saya suka berada di sana,” tambahnya.
Terdahulu, Ronaldo memberi bayangan bahawa beliau akan bersara dalam tempoh beberapa tahun lagi. Beliau juga menyatakan Al-Nassr bakal menjadi kelab terakhirnya.