Cristiano Ronaldo: Menang Euro Sama Seperti Piala Dunia
MakanBola
UEFA

Cristiano Ronaldo akui tidak merasa kesal perjuangannya bersama Portugal di Piala Dunia berakhir di pusingan 16 pasukan terbaik.

Ini kerana pada hematnya, beliau sudah memberikan yang terbaik kepada A Selecao sejak meraih penampilan pertama pada 2003. Ronaldo juga merasa tidak kesal kerana membantu Portugal meraih tiga trofi.

Salah satu daripadanya ialah Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2016. Ronaldo melihat kejayaan bergelar juara EURO sama seperti menjulang trofi Piala Dunia.

“Saya sudah memenangi tiga trofi bersama Portugal. Sebelum Cristiano, Portugal tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan dalam sejarah.

“Kejuaraan terbaik saya pernah menang bersama Portugal ialah EURO 2016. Sejujurnya pada saya, memenangi EURO sama seperti memenangi Piala Dunia. Sekali lagi, saya meninggalkan kejohanan dengan kesedaran yang jelas dan berikan yang terbaik kepada Portugal.

“Esok ialah hari yang baru dan kita akan bermula sekali lagi,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Portugal terkandas di pusingan 16 terbaik apabila tewas 1-0 di tangan Sepanyol. Kekalahan itu juga menyaksikan Ronaldo menjadi pemain pertama dalam sejarah yang beraksi dalam enam edisi tetapi gagal memenanginya.

Legenda Manchester United itu turut menegaskan beliau akan berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum menimbang kemungkinan untuk bersara.