Piala Dunia
EuroFoot
Advertisements

Croatia mencipta kejutan dengan menyingkirkan Brazil dari Piala Dunia 2022. Ini selepas Vatreni berjaya menewaskan lawan mereka itu menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Bandar Pendidikan hari ini.

Kedua-dua pasukan kelihatan seimbang sebaik sepak mula. Tetapi Brazil terlebih dahulu menguji penjaga gol Dominik Livakovic menerusi sepakan Vinicius Jr pada minit kelima tetapi berjaya ditangkap kemas penjaga gol Dinamo Zagreb itu.

Brazil terus mendominasi bola tetapi Croatia hampir saja mengejutkan Selecao menerusi cubaan mereka pada minit ke-13. Bek kanan Celtic Josip Juranovic membuat larian dari sebelah kanan sebelum menghantar bola kepada pemain tengah Atalanta Mario Pasalic. Pasalic cuba menghantar bola kepada Ivan Perisic tetapi pemain sayap Spurs itu gagal menyudahkan bola masuk ke gawang Brazil.

Advertisements

Sekitar minit ke-21, giliran Vinicius pula mencetuskan situasi kelam-kabut dalam pertahanan Vatreni. Selepas bertukar hantaran dengan Richarlison, penyerang Real Madrid itu melepaskan rembatan ke arah gol tetapi rembatannya tepat ke dakapan Livakovic. Seminit selepas itu, pemain tengah Manchester United Casemiro pula mencuba dari luar kotak penalti tetapi sepakannya tersasar.

Juranovic sekali lagi mencemaskan Danilo yang mengisi slot bek kiri Brazil menerusi larian pada minit ke-30. Lariannya itu kemudian disudahkan menerusi satu hantaran kepada Perisic tetapi percubaannya itu langsung tidak mencemaskan penjaga gol Liverpool, Alisson. Bintang PSG, Neymar cuba menguji Livakovic menerusi sepakan percuma pada minit ke-41 tetapi sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol Zagreb itu. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Croatia dicemaskan menerusi sepakan kencang Neymar selepas menerima hantaran daripada Vinicius Jr pada minit ke-49 tetapi berjaya dihalang Josko Gvardiol. Brazil kemudiannya mendakwa mereka patut dianugerahkan sepakan penalti selepas bola terkena Juranovic tetapi ia tidak dilayan oleh VAR.

Advertisements

Vatreni hampir mendahului pada minit ke-54 dengan Juranovic sekali lagi menjadi penggerak serangan mereka. Dia melorongkan bola kepada Perisic sebelum pemain sayap Spurs itu menghantar bola ke sebelah kiri agar dapat ditanduk Andrej Kramaric tetapi hantarannya terlampau kuat dan sukar dicapai penyerang Hoffenheim itu.

Seminit selepas itu, Neymar hampir membolosi gawang Croatia selepas menerima hantaran licik Richarlison. Bagaimanapun, Livakovic berjaya menafikan percubaan bekas penyerang Barcelona itu. Brazil yang terdesak memasukkan Antony dan Rodrygo menggantikan Raphinha dan Vinicius Jr. Pertukaran tersebut hampir memecah kebuntuan Selecao pada minit ke-65 menerusi Lucas Paqueta tetapi sekali lagi dinafikan Livakovic.

Sekitar minit ke-80, Antony berjaya melepaskan diri daripada kawalan pemain Croatia dan membuat hantaran kepada Rodrygo. Hantaran Rodrygo itu cuba disudahkan Paqueta tetapi Livakovic kebal menangkis cubaan pemain tengah West Ham itu. Dua minit selepas itu, tandukan Richarlison selepas menerima balingan Casemiro tidak mengenai sasaran. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan dan penentuan kemenangan dibawa ke masa tambahan.

Advertisements

Croatia hampir mendahului menerusi Marcelo Brozovic pada minit ke-103 selepas Bruno Petkovic berjaya menewaskan dua pemain pertahanan Selecao. Tetapi malangnya, sepakan tersebut hanya melepasi palang gol Alisson.

Neymar Brazil Croatia Piala Dunia 2022 Bleacher Report Croatia Atasi Brazil, Pasukan Pertama Ke Separuh Akhir Piala Dunia
Neymar menyumbat gol tunggal perlawanan semasa menentang Croatia. Gambar: Bleacher Report

Dua minit selepas itu, Brazil memecah kebuntuan menerusi Neymar selepas bertukar hantaran dengan pemain gantian Pedro sebelum merembat kencang menembusi bumbung gawang Vatreni. Gol tersebut turut membantu penyerang PSG itu menyamai rekod penjaring terbanyak pasukan Brazil iaitu Pele dengan 77 gol.

Croatia cuba menyamakan kedudukan dengan strategi permainan lebih menyerang. Ini termasuk memasukkan Ante Budimir bagi membantu Petkovic dan Perisic bagi menembusi pertahanan Selecao. Dan hasilnya, Vatreni berjaya menyamakan kedudukan menerusi Petkovic selepas rembatannya terkena bek tengah Marquinhos pada minit ke-117 dan menewaskan Alisson. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan sekaligus keputusan perlawanan perlu ditentukan menerusi sepakan penalti.

Advertisements

Penentuan sepakan penalti menyaksikan Livakovic sekali lagi menjadi wira dengan menafikan penalti Rodrygo dan Marquinhos. Kemaraan Vatreni disahkan menerusi sepakan penalti pemain gantian Mislav Orsic sekaligus membawa Croatia ke separuh akhir. Mereka kini bakal menanti sama ada Argentina atau Belanda sebagai lawan mereka di separuh akhir.

Bagi Brazil, ini satu kejutan. Tetapi selepas apa yang dilakukan pegawai media mereka terhadap seekor kucing semalam, mungkin itu balasan setimpal atas apa yang berlaku.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram