Sidang media pra-perlawanan Piala Dunia 2022 Brazil kecoh hari ini bukan kerana komen pemain atau jurulatih mereka, Tite. Tetapi disebabkan oleh tindakan seorang pegawai media pasukan menolak seekor kucing dari meja sidang media berkenaan. Klip video insiden tersebut tular di laman media sosial dan mengundang rasa tidak puas hati ramai orang.
Sebelum sidang media bermula, penyerang Selecao dan Real Madrid Vinicus Jr telah duduk dan bersedia berdepan dengan pihak media. Ia merupakan sidang media pra-perlawanan suku akhir membabitkan Brazil dan Croatia. Tetapi sebaik sidang media bermula, seekor kucing tiba-tiba naik ke atas meja dan duduk di situ.
Tanpa teragak-agak, seorang pegawai media Brazil yang menemani Vinicius Jr ketika itu bertindak mencampak kucing tersebut ke lantai pada jarak yang tinggi. Tindakan pegawai media tersebut membuatkan wakil-wakil media terkejut dengan apa yang berlaku.
Apabila seseorang menegur dalam Bahasa Portugis bahawa apa yang dilakukan itu salah, si pegawai mengangkat sambil bertanya sama ada apa yang dia lakukan itu salah atau tidak. Dia kemudiannya memandang Vinicius Jr sebelum kedua-duanya ketawa seolah-olah perkara itu merupakan satu perkara yang melucukan.
Sebaik insiden ini tular di laman media sosial, mereka menuduh pegawai media Brazil itu tidak berhati perut dan tiada rasa sayang terhadap haiwan. Malah, ada yang berharap Croatia dapat melakar kejutan dengan menewaskan Selecao di peringkat suku akhir sebagai balasan atas apa yang dilakukan pegawai tersebut terhadap kucing berkenaan.
Brazil berdepan cabaran Croatia pada peringkat suku akhir malam esok. Pasukan yang berjaya mara ke separuh akhir bakal berdepan cabaran Argentina atau Belanda yang beraksi dalam satu lagi aksi suku akhir awal pagi 10 Disember.