UEFA Sebulat Suara Boikot Piala Dunia
MakanBola
FIFA

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebulat suara bersetuju memboikot Piala Dunia sekiranya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meneruskan rancangan menjual sebahagian kepentingan kejohanan itu kepada pelabur luar.

Talksport melaporkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan pada Khamis. Kesemua 55 negara ahli UEFA bersetuju dengan usul memboikot kejohanan berprestij itu.

Keputusan ini juga selaras dengan pendirian konsisten UEFA termasuk Presiden, Aleksander Ceferin yang menolak rancangan FIFA. Ini kerana mereka melihat rancangan penjualan kepentingan tersebut sebagai ancaman kepada integriti sukan bola sepak.

Boikot kekal berkuatkuasa selagi mana usul tersebut wujud. Jika boikot ini kekal, perkara ini dijangkan menjejaskan kualiti dan kemeriahan Piala Dunia tanpa kelibat pasukan-pasukan benua berkenaan.

Sejak edisi 1998, negara Eropah mengungguli senarai pemenang Piala Dunia. Hanya dua edisi saja menyaksikan trofi Piala Dunia dibawa ke Amerika Selatan iaitu 2002 (Brazil) dan 2022 (Argentina).

Boikot dijangka berkuatkuasa seawal tahun hadapan. Kemungkinan itu timbul kerana Piala Dunia Wanita 2027 bakal diadakan di Brazil.

Sebelum ini, FIFA mengemukakan usul penjualan sebahagian kepentingan Piala Dunia bertajuk FIFA Forward Enterprise (FFE). Sekiranya usul ini direalisasikan, pegangan kejohanan seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab akan dijual kepada pelabur luar.

Negara-negara ahli FIFA diberi tempoh sehingga 19 September ini untuk menilai usul berkenaan. Jika mereka bersetuju, mereka bakal mendapat dana sebanyak AS$40 juta (RM163.3 juta) dengan separuh daripadanya boleh digunakan seawal 1 Januari 2027.

Sejak itu, usul berkenaan mendapat kecaman ramai pemegang taruh bola sepak. Antara yang membantah ialah UEFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Presiden FIFA, Gianni Infantino turut dibidas kerana menyatakan minat untuk menjadi komisioner FFE sekiranya dipilih semula.

Satu nama yang berpotensi mencabar beliau ialah Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi. Meskipun menerima sokongan ramai pihak, beliau tidak berminat meninggalkan kedudukan beliau di PSG dan beIN Sports.

Reputasi FIFA dan Infantino dilihat terjejas terutama semasa kempen Piala Dunia 2026. Antaranya kontroversi membabitkan kad merah penyerang Amerika Syarikat (US), Folarin Balogun.

Selain itu, kandungan surat Infantino kepada Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) selepas gagal bergelar juara juga tular di media sosial. Ini kerana pujian beliau kepada Argentina tidak selari dengan beberapa insiden membabitkan pasukan itu di peringkat akhir.

Empat figura termasuk penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala kini disiasat FIFA berhubung insiden tersebut. Argentina juga didakwa melakukan beberapa kesalahan termasuk menaikkan mesej politik berhubung Pulau Falklands selepas aksi separuh akhir mentang England.