Dakwaan melulu yang dilemparkan oleh sebilangan netizen Indonesia terhadap laluan mudah Malaysia di Kelayakan Piala Dunia terbukti mengarut.
Skuad negara menjadi bualan hangat di rantau Asia Tenggara selepas mencatatkan dua kemenangan berdepan Kyrgyzstan dan Chinese Taipei untuk memungut mata penuh daripada perlawanan tersebut.
Nasib berbeza dialami oleh pasukan kendalian Shin Ta-yong selepas hanya seri berdepan Filipina dan tewas besar kepada Iraq.
Sebilangan netizen Indonesia juga terpengaruh dengan audio siar yang disebar di laman sosial oleh seorang pempengaruh Indonesia yang memberi tanggapan sedemikian.
Merujuk kepada kemas kini terbaru ranking FIFA menyaksikan bahawa anak didik Kim Pan-gon tidak berdepan lawan mudah seperti yang dinyatakan.
Lawan pertama Malaysia iaitu Kyrgyzstan berada di tangga ke-102 dunia sementara Oman merupakan pasukan terhebat dalam kumpulan ini berada di tangga ke-72 dunia.
Harimau Malaya kini menghuni tangga ke-130 dunia disusuli Chinese Taipei di tangga ke-154 dunia.
Keadaan berbeza buat Indonesia apabila diundi berdepan dua pasukan Asia Tenggara iaitu Vietnam (95 dunia) dan Filipina (142 dunia) dengan lawan terhebat ialah Iraq (63 dunia).
Sang Garuda juga memiliki pengalaman apabila sering berdepan Filipina dan Vietnam terutamanya dalam saingan Piala AFF beberapa siri kebelakangan ini.
Aksi berikutnya menyaksikan Malaysia akan bertemu Oman manakala Indonesia akan berdepan gergasi ASEAN, Vietnam pada bulan Mac 2024 di laman sendiri.