Pemain tengah Kuching City FC, Danial Amier Norhisham ceria apabila kembali menggegar jaring dalam aksi terbaru Liga Super di Kuching pada 12 Julai lalu.
Aksi Kuching City menentang PDRM FC menyaksikan anak buah Aidil Sharin Sahak memburu kemenangan pertama dalam liga untuk musim 2024/25.
Dan seawal dua minit, tuan rumah meraih kelebihan gol pertama menerusi Danial. Pemain tengah berusia 27 tahun itu menyudahkan hantaran Jordan Mintah untuk menewaskan penjaga gol The Cops, Bryan See.
Kemenangan The Cats disahkan apabila Mintah kemudiannya menyempurnakan penalti pada minit ke-92. Ini sekaligus menamatkan penantian kemenangan pertama liga pasukan yang berpangkalan di Sarawak itu.
Bagi Danial, gol pertamanya bersama The Cats dilihat cukup istimewa. Ini kerana ini menunjukkan beliau sudah kembali menunjukkan prestasi terbaik selepas berehat lama pada musim 2023 akibat kecederaan.
Selain itu, keupayaannya mengendalikan jentera tengah terutama bila bergandingan dengan bekas pemain import Terengganu FC, Petrus Shitembi memastikan kemenangan Kuching City tidak tergugat.
Sejak menyertai Kuching City secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada awal musim, Danial telah merekodkan empat penampilan dalam Liga Malaysia (Liga M).
Khidmatnya dijangka ditagih Aidil apabila The Cats turun menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman pada 26 Julai ini.