Pengendali Negeri Sembilan FC, Daniel Gimenez mengakui resah dengan prestasi pasukan itu selepas mengharungi beberapa perlawanan Liga Malaysia (Liga M).
Selepas tewas kepada Melaka FC dalam aksi Liga Super dan Kelantan City FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA, The Jangs berharap dapat bangkit dalam perlawanan menentang Star City FC.
Meskipun begitu, tuan rumah ketinggalan dua gol di Paroi hasil jaringan Pedro Henrique dan bekas arkitek Kuching City FC, Moses Atede.
Pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid muncul wira dengan meledakkan dua gol bagi memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Gimenez mengakui resah dengan prestasi anak buahnya terutama dalam perlawanan tersebut. Pada masa sama, beliau turut memuji impak pemain-pemain gantian sehingga membantu Negeri Sembilan meraih satu mata.
“Saya bercakap dengan staf, saya tak tahu macam mana perasaan gembira atau marah. Anggap ini sebagai satu kemenangan atau kekalahan, saya tak tahu.
“Disebabkan perasaan bercampur-campur sepanjang 90 minit, saya tak tahu apa yang menimpa saya di Malaysia. Separuh masa pertama, pasukan lain dan babak kedua, satu lagi pasukan berbeza).
“Dan terima kasih kepada semua pemain yang masuk sebagai pemain gantian, mereka berusaha dan memberi nilai tambah. (Tempoh) 15 hingga 30 minit, mereka memberi nilai tambah kepada pasukan dan alhamdulillah, kita mendapat satu mata tetapi itu tidak cukup,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan kini di tangga keenam liga dengan empat mata. Selepas ini, The Jangs berharap dapat bangkit dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Kelantan City pada 8 September.