Bekas jeneral tengah Kuching City FC, Moses Atede memilih berkelana ke utara tanah air dengan menyertai Star City FC.
Perpindahan pemain tengah Bahrain berusia 28 tahun itu diumumkan pengurusan Star City menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan berkenaan.
“Dari skuad kebangsaan Bahrain ke The Northern Stars! Kami teruja untuk mengumumkan perpindahan pemain tengah berusia 28 tahun, Moses Atede Jona.
“Dilahirkan di Nigeria dan membawa pengalaman Liga Super Malaysia yang terbukti semasa tempohnya bersama Kuching City, Moses bersedia untuk memimpin bahagian tengah padang untuk Star City FC. Selamat datang ke rumah baharu anda!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran bekas pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu bakal memberi pilihan tambahan kepada jurulatih Australia, Mehmet Durakovic di bahagian tengah.
Perpindahan itu turut menamatkan teka-teki yang bermain dalam kepala penyokong tentang destinasi Atede selepas meninggalkan Kuching City pada akhir musim lalu.
Bekas pemain Sitra FC itu membantu The Cats muncul naib juara Liga Super dan Piala Malaysia serta layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2026/27.
Atede dijangka bersaing dengan Pedro Santos, Zulfahmi Arifin dan Amirul Aiman Ibrahim untuk posisi pemain tengah bertahan.