Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting dilaporkan sudah mula menjalani latihan bersama Ratchaburi.
Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan lamanya, Sabah FC, pemain pertahanan berusia 33 tahun itu semakin hampir menyertai kelab Thailand itu.
Khabar angin itu semakin kuat apabila Daniel dikesan menjalani latihan bersama Ratchaburi baru-baru ini.
Video sesi latihan itu turut disertakan dengan kenyataan, “Hello, semua.” Video sama turut dikongsikan akaun Harimau Abroad.
Tangkap layar sesi latihan Daniel bersama Ratchaburi itu juga dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Beliau turut mendedahkan beberapa pemain warisan negara bakal mengikut jejak bekas pemain pertahanan Sabah itu berhijrah ke Thailand.
“Dari Liga Super to Thai League 1, Daniel Ting sah perkuat Ratchaburi FC. Beberapa lagi pemain warisan negara dijangka menyusul,” katanya di X.
Sekiranya semua berjalan lancar, Daniel bakal menjadi pemain kedua yang direkrut Ratchaburi selepas Kevin Deeromram.