Daniel Ting Nafi Malaysia Pandang Mudah Timor Leste
MakanBola
FA Malaysia

Tonggak pertahanan Malaysia, Daniel Ting menafikan terlalu memandang rendah kemampuan Timor Leste menjadi asbab pasukan negara hampir dikejutkan dalam aksi kedua ASEAN Mitsubishi Electric Cup.

Pada aksi tersebut, skuad negara bermula baik apabila Syafiq Ahmad meletakkan Malaysia di hadapan sebelum 2 jaringan Timor Leste di penghujung babak pertama membuatkan tuan rumah cemas.

Penyerang berpengalaman, Paulo Josue muncul wira untuk Harimau Malaya apabila meledak dua jaringan di minit ke-70 dan 83 memastikan tiga mata pertama buat skuad negara.

Menurut Daniel Ting, tiada istilah memandang mudah pihak lawan namun menganggap ini adalah perkara biasa dalam bola sepak dengan setiap pasukan juga miliki pemain yang bagus.

”Saya tak rasa kami memandang rendah pihak lawan (Timor Leste), ini adalah lumrah dalam bola sepak. Setiap pasukan adalah bagus dan miliki para pemain yang hebat,” ujar Daniel.

Tambah beliau, para pemain negara dilihat sedikit kehilangan fokus ketika turun di atas padang dan tetap gembira apabila misi memperoleh 3 mata berjaya dilaksanakan oleh pasukan.

”Pada pendapat saya, (kami) agak kurang fokus pada suatu ketika tetapi meraih tiga mata adalah lebih penting,” komen Daniel selepas perlawanan.

Kemenangan ini meletakkan skuad negara di tempat pertama kumpulan A dengan 4 mata setelah 2 perlawanan sementara Timor Leste kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Ujian berat menanti Harimau Malaya apabila bakal terbang ke Bangkok untuk bertemu juara bertahan, Thailand pada Sabtu manakala Timor Leste pula akan menentang Singapura.