Daniel Ting Raih Debut Cemerlang Bersama Ratchaburi
MakanBola
Ratchaburi FC

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting tampil cemerlang dalam aksi pertamanya bersama Ratchaburi FC.

Pemain pertahanan berusia 33 tahun itu membantu The Dragons menewaskan Chonburi FC 1-0 dalam aksi terbaru Thai League 1.

Jurulatih Ratchaburi, Worrawoot Srimaka memberi peluang buat Daniel untuk meraih penampilan pertama dalam kesebelasan utama.

Beliau beraksi di posisi bek tengah bersama tonggak import DR Congo, Gabriel Mutongo. Meskipun beraksi di posisi berbeza, Daniel memastikan Ratchaburi tidak dibolosi sepanjang perlawanan.

Kesungguhan The Dragons mempertahankan gawang mereka semakin tinggi apabila kapten, Jakkaphan Kaewprom dibuang padang pada separuh masa pertama.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Ratchaburi membuka tirai jaringan menerusi seorang lagi pemain baharu, Jaroensak Wonggorn pada minit ke-51.

Chonburi yang memiliki kelebihan 11 pemain cuba mendapatkan gol penyamaan. Pada akhirnya, keputusan 1-0 memihak kepada Ratchaburi.

Keputusan ini menyaksikan The Dragons terus mengejar pendahulu liga, Buriram United dengan 32 mata. Chonburi pula di tangga ke-12 dengan 15 mata.

Prestasi cemerlang Daniel turut diiktiraf oleh Sofascore. Bekas pemain pertahanan Sabah FC itu mendapat markah 7.4.

Daniel dan Ratchaburi kini mengalihkan fokus kepada aksi Thai FA Cup menentang Sisaket United pada 14 Januari ini.