Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting sah menyertai kelab Thailand, Ratchaburi secara pinjaman sehingga akhir musim 2025/26.
Perpindahan pinjaman pemain berusia 33 tahun itu disahkan pengurusan The Dragons menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
Selepas tamat tempoh pinjaman bersama Sabah FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) memilih meminjamkan khidmat Daniel kepada Ratchaburi.
“Selamat datang, Daniel Ting, ke keluarga Ratchaburi!” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Daniel Ting, pemain pertahanan antarabangsa Malaysia yang berpengalaman berusia 33 tahun, merupakan pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim, satu lagi pasukan liga utama Malaysia.”
Bekas pemain PKNS FC itu mengikut jejak rakan senegara, Safawi Rasid. Safawi pernah beraksi bersama Ratchaburi pada separuh kedua musim 2022/23.
Daniel menjadi pemain kedua yang direkrut The Dragons selepas bekas pemain pertahanan Selangor FC, Kevin Deeromram.
Finalis Piala FA 2025/26 itu berpeluang bersemuka dengan rakan senegara, Sergio Aguero. Aguero ketika ini mewakili Kanchanaburi Power.
Kedua-dua pemain berpeluang berentap apabila kedua-dua kelab bertemu dalam aksi terakhir Thai League 1 pada 10 Mei ini.