Bekas penyerang Liverpool, Bobby Adekanye menjadi rekrut terbaru Lion City Sailors (LCS) bagi menghadapi musim 2026/27.
Perpindahan penyerang berusia 27 tahun itu diumumkan pengurusan LCS menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab berkenaan.
“Lion City Sailors dengan sukacitanya mengumumkan perpindahan bekas pemain muda Liverpool, Bobby Adekanye dengan kontrak dua tahun – menambah kepantasan, bakat dan pengalaman Eropah yang terbukti dalam skuad menjelang musim akan datang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik perpindahan itu diumumkan, Adekanye mengakui pada awalnya, beliau kurang arif dengan LCS dan Singapura amnya.
Selepas mengetahui sejarah dan aspirasi kelab terutama di pentas Asia, bekas penyerang Lazio itu melihat perpindahan ini sebagai satu cabaran baru. Sepanjang karier permainan Adekanye, ini kali pertama beliau beraksi di Asia.
“Sejujurnya, saya tidak tahu banyak tentang Singapura sebelum ini. Tetapi selepas bercakap dengan kelab itu dan mengetahui tentang visi dan cita-citanya, saya merasa ini tempat yang sesuai buat diri saya.”
“Kelab itu sangat ikhlas untuk membawa saya ke sini dan projek yang mereka bentangkan sangat menarik. Saya telah melalui banyak pengalaman menarik sepanjang kerjaya saya.
“Dan saya berharap dapat memanfaatkan mereka untuk membantu pasukan ini mencabar setiap trofi dan menjadi salah satu kelab terbaik di rantau ini,” katanya.
Adekanye antara 10 rekrut terbaru LCS untuk musim 2026/27. Bekas naib juara Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25 itu turut mendapatkan khidmat bekas penyerang Buriram United, Ilhan Fandi, Jorge Karseladze dan Matthias Phaeton.
Adekanye bukan satu-satunya bekas pemain Liverpool yang bakal mewarnai saingan Singapore Premier League (SPL). Hougang United turut mendapatkan bekas bintang muda The Reds, Oakley Cannonier.